“Selepas ini, kalau ada apa- apa perkara berlaku terus beritahu pada ayah. Ayah tidak mahu ada rahsia di antara kita semua. Kita semua satu keluarga. Perlu bersatu- padu. Ayah tidak mahu orang bercerita yang bukan- bukan tentang keluarga kita semua. Susah macam manapun keluarga kita, jangan mencuri atau meminta- minta daripada orang lain,” kata ayah dengan tegas. Namun begitu, kami masih terasa getaran pada suara ayah. Jelas ayah menahan sebak. Ayah tidak pernah meninggikan suara pada kami anak- anaknya. Marah macam manapun ayah kepada kami, dia tidak akan sesekali meninggikan suaranya.
“Memang keluarga kita miskin. Ayah tidak mempunyai harta untuk ditinggalkan kepada kamu semua. Ayah cuma ada keluarga kita ini. Ingat pesan ayah. Apa yang ada pada kita sekeluarga jangan kedekut. Berkongsi antara satu sama lain. Kalau kita hanya ada sebiji epal untuk dimakan sekalipun, kongsi dan makan bersama- sama. Jangan sorok dan makan sendirian sahaja. Ayah minta maaf kerana tidak mampu untuk memberikan kemewahan kepada kamu semua tapi ayah berjanji yang ayah akan lakukan yang terbaik untuk kebahagian kita sekeluarga. Ayah sayang isteri dan anak- anak ayah,” sambung ayah lagi dengan sebak. Aku lihat ada air mata di tubir mata ayah. Kami semua meluru kepada ayah. Semuanya menangis sambil memeluk ayah. Kami tidak mahu ayah menangis lagi. Kami berjanji akan cuba mempertahankan pertalian kekeluargaan kami sebaik mungkin.
No comments:
Post a Comment
teguran anda menjadi panduan untuk saya. terima kasih...