Segembira manapun kami menikmati kehidupan sebagai anak Felda, tetap ada tercalit derita. Sekali lagi kewibawaan keluarga kami dipersoalkan. Suatu hari, Pak Cik Abu datang lagi berjumpa dengan ayah. Kali ini dia membawa cerita tentang kakak sulungku pula. Katanya kakak telah mencuri duitnya sebanyak lima puluh ringgit. Pak Cik Abu juga mengatakan berita tersebut sudah tersebar di kawasan kejiranan kami. Kali ini aku lihat raut wajah ayah sedikit berubah. Ada riak kesal pada wajahnya. Namun ayah masih bersikap tenang dan meminta masa daripada Pak Cik Abu untuk menyiasat tentang perkara tersebut. Malam itu setelah selesai solat isyak berjemaah, kami sekeluarga berkumpul di bahagian tengah rumah. Ayah cuba menyusun kata untuk diluahkan. Aku dengar ada sedikit getar pada nada suaranya. Ayah bertanyakan situasi sebenar yang berlaku kepada kakak sulungku. Perihal yang diceritakan oleh Pak Cik Abu kepada ayah. Ternyata kakak tersentak dan mula menangis. Kami adik- beradik yang lain hanya tertunduk dan berdiam diri. Aku sempat mengerling emak. Aku lihat matanya mula berkaca. Ada simpati yang bertunas di hati. Kata kakak dia malu kerana dituduh sebagai seorang pencuri. Kakak menceritakan perkara sebenar kepada ayah. Sehari sebelum Pak Cik Abu datang ke rumah kami, emak ada meminta kakak untuk membelikan sebungkus garam di kedai yang berhampiran dengan rumah kami. Untuk ke kedai itu, kakak mesti melintasi rumah Pak Cik Abu dan pada waktu itu Kak Jijah anak Pak Cik Abu memanggil kakak untuk singgah ke rumahnya. Kakak diminta oleh Kak Jijah untuk membelikannya makanan ringan di kedai itu. Kak Jijah menghulurkan not lima puluh ringgit kepada kakak untuk membayar barangan yang dikirimnya. Kakak yang lurus sikapnya tidak banyak bersoal jawab. Sampai di kedai kakak memilih barang- barang yang hendak dibeli kemudian terus ke kaunter untuk membuat pembayaran. Pekedai tersebut ternyata terkejut apabila kakak membayar barangan yang dibeli dengan nilai duit yang besar. Pada ketika itu sangat mustahil untuk melihat anak peneroka mampu mempunyai duit yang besar jumlahnya. Nilai jumlah itu sudah hampir banyak dengan pendapatan ayah ketika itu. Maka tidak hairanlah jika pekedai itu berasa curiga dengan kakak. Dalam masa yang sama Pak Cik Abu tiba di kedai tersebut. Pak cik Abu mengadu kepada pekedai tentang kehilangan wangnya dan pekedai yang bernama Mak Cik Jemah itu mengatakan bahawa dia mengesyaki kakak yang telah mengambil duit Pak Abu. Ayah termenung seketika setelah mendengar cerita kakak. Ayah memanggil emak dan semua anak- anaknya supaya duduk berhampiran dengannya. Dengan perlahan- lahan ayah mula menyusun bicara.
No comments:
Post a Comment
teguran anda menjadi panduan untuk saya. terima kasih...