Kehidupan sebagai anak seorang peneroka juga ada suka dan dukanya. Kami lapan beradik memang tidak pernah dimanjakan dengan kemewahan oleh ayah dan emak. Bagaimana hendak bermewah- mewahan sedangkan gaji ayah pun tidak seberapa. Ayah dan emak juga tidak mempunya harta lain selain tanah ladang dan tapak rumah tempat kami tinggal ini. Ayah mempunyai anak- anak yang amat memahami kehidupannya yang susah. Kami tidak pernah meminta ayah membelikan apa- apa barang kerana kami tidak mahu ayah merasa terbeban dengan permintaan kami. Kami tahu ayah akan cuba memenuhi permintaan kami sekiranya kami memaklumkan kepadanya tentang keinginan kami. Tapi kami anak- anak ayah tidak tega untuk menyusahkan ayah. Kehidupan kami seperti anak- anak peneroka yang lain. Waktu pagi akan ke sekolah, tengahari pulang ke rumah dan sebelah petangnya pula kami akan ke sekolah agama rakyat untuk mempelajari ilmu agama. Pulang dari sekolah agama, masing- masing akan keluar bermain di hadapan rumah untuk bermain layang- layang, guli, getah, galah panjang, teng- teng, batu seremban dan permainan kampung yang lain bersama anak- anak jiran yang lain. Jenis- jenis permainan yang kami main ini bergantung kepada musim. Apabila tiba musim layang- layang, kami akan membuat layang- layang sendiri menggunakan buluh, kertas surat khabar dan benang. Begitu juga bila tiba musim bermain batu seremban, aku dan kakak- kakakku akan mengutip batu- batu kerikil yang ada di kawasan rumah untuk digunakan untuk bermain batu seremban. Biasanya kami akan memilih batu- batu yang berbentuk agak bulat kerana lebih mudah dibaling selain bentuknya yang comel. Sebelum keluar bermain, emak akan memastikan perut anak- anaknya sudah terisi. Hal ini kerana emak mahu memastikan anak- anaknya sentiasa kenyang. Emak tidak mahu anak- anaknya menumpang makan di rumah orang. Apabila cuti penggal persekolahan, aktiviti kami anak- anak peneroka akan lebih pelbagai. Waktu itu kami akan bermain di kawasan paya yang terdapat di belakang rumah kami. Kanak- kanak lelaki akan menangkap ikan serta membina pondok di bawah pokok jambu air yang di tanam oleh ayah. Kakak pula akan meminjam kuali daripada emak untuk memasak hasil tangkapan yang diperolehi. Ikan haruan, ikan keli, ikan sepat dan ikan puyu biasa menjadi santapan kami beramai- ramai ketika itu. Kakak memang pandai memasak. Mungkin turun- temurun daripada emak. Dia akan memasak di tepi pondok yang dibina oleh kanak- kanak lelaki. Kami yang lain akan membantu kakak menyediakan juadah untuk dimakan pada waktu tengahari. Ulam- ulaman pula kami perolehi di tepi- tepi rumah saja. Emak dan ayah memang rajin bercucuk tanam. Pucuk paku, ulam raja, kacang botor, pegaga, kangkung dan lain- lain hidup subur hasil daripada cucuk tanam mereka berdua. Betapa meriahnya suasana ketika itu. Kawasan paya itu riuh rendah dengan suara kami sahaja.
No comments:
Post a Comment
teguran anda menjadi panduan untuk saya. terima kasih...