Apabila hari persekolahan, kami di rumah dipantau oleh emak. Itu amanah yang telah dititipkan oleh ayah buat emak. Yang pasti, emak berjaya melaksanakan amanah itu tanpa ada cacat celanya pada pandangan kami. Saat itu aku kagum dengan ketabahan emak yang mampu hidup serba kekurangan bersama- sama ayah. Dalam masa menguruskan urusan rumah tangga di rumah, emak selalu menasihati kami adik- beradik supaya sentiasa menghargai pengorbanan ayah. Setiap hari apabila sedang menjamu selera selepas pulang dari sekolah, emak tidak pernah lupa untuk berkongsi hasrat ayah untuk melihat kami semua berjaya dalam kehidupan. Sebagai seorang isteri peneroka, emak juga turut menerima tempias kesusahan ayah. Dengan jumlah anak yang agak ramai berbanding dengan peneroka yang lain, keluarga kami tidak begitu disukai oleh segelintir jiran yang tinggal berhampiran dengan rumah kami. Pernah suatu hari, Pak Cik Abu jiran sebelah kanan rumah kami datang menemui ayah. Pak Cik Abu mengatakan kepada ayah bahawa emak yang ditinggalkan ayah di rumah ketika bekerja telah membawa cerita yang bukan- bukan tentang isterinya kepada jiran- jiran kami yang lain. Aku lihat mata emak berkaca ketika itu. Aku tahu ada kepedihan yang tidak tertanggung di dalam jiwanya apabila dituduh sedemikian rupa. Aku yakin emak tidak pernah melakukan perkara yang telah diceritakan oleh Pak Cik Abu itu. Sepanjang yang aku lihat, emak tidak sempat untuk membuat perkara lain sekiranya menguruskan perihal rumah tangga. Jumlah kerja rumah yang banyak ditambah pula jumlah anak- anak yang ramai yang perlu diuruskan menyebabkan masa emak agak terhad untuk berbual- bual dengan jiran yang lain. Jadi, masakan emak sempat bertandang ke rumah orang lain semata- mata untuk menceritakan perihal yang bukan- bukan tentang isteri Pak Cik Abu. Kami anak- anak ayah dan emak yang paling terkesan dengan peristiwa tersebut. Emak pula sedih kerana setelah cuba menjaga maruah ayah sebaik mungkin, masih ada juga berita yang kurang enak disebarkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab sehingga mengaibkan ayah dan keluarga kami. Namun ayah bukanlah orang yang cepat melatah. Walaupun ada bahasa yang berbicara di matanya, ayah mampu bertenang dan bersabar. Cuma aku dapat rasakan ada rentak risau di hujung nafasnya. Kata ayah, dia tetap mempercayai emak kerana katanya hanya jauhari yang mengenal manikam dan dia yakin dengan pilihan hidupnya itu. Ayah dengan lembut memujuk emak dan anak- anaknya supaya bersabar dengan fitnah yang berlaku itu. Untuk mengelakkan cerita itu dari terus berpanjangan, emak meminta izin daripada ayah untuk mendapatkan pekerjaan. Ayah dengan berat hati terpaksa memberi keizinan kepada emak untuk bekerja di tapak semaian pokok kelapa sawit di tanah rancangan berhampiran. Kerja emak di situ ialah menyulam anak- anak pokok kelapa sawit di dalam beg plastik hitam sebelum disemai ke bahagian ladang yang lain.
No comments:
Post a Comment
teguran anda menjadi panduan untuk saya. terima kasih...