Hidup sebagai seorang peneroka Felda bukanlah mudah dan senang seperti yang diperkatakan orang. Aku melihat sendiri jatuh bangunnya ayah sepanjang dua puluh empat tahun hidup di muka bumi ini. Pelbagai kerja yang ayah lakukan untuk menambahkan pendapatannya bagi menampung perbelanjaan kami sekeluarga. Salah satu kerja yang ayah pernah lakukan ialah menjadi seorang tukang kebun di Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan Jengka. Kerja ini ayah lakukan kerana ayah tidak mahu mengambil wang sara diri yang disediakan oleh pihak Felda. Kata ayah sekiranya dia mengambil wang sara diri tersebut, hutang ayah akan semakin bertambah. Disebabkan perkara itu, beban kerja ayah semakin bertambah. Tugas ayah bukan sahaja mengerjakan hasil ladang kelapa sawit yang luasnya tidak sampai sepuluh ekar itu tetapi juga membersihkan kawasan pejabat pengangkutan jalan. Ayah akan keluar seawal pagi dari rumah bagi memenuhi tuntutan pekerjaannya itu. Ayah bijak menyembunyikan riak keletihan pada wajahnya. Bagusnya ayah dia tidak pernah merungut atau mengadu tentang kesusahannya kepada orang lain. Ayah tidak pernah berhenti daripada menjalankan tugasnya. Apabila tiba hujung minggu, anak- anak lelaki ayah akan membantu ayah di ladang kelapa sawit. Anak- anak perempuannya juga akan diajak bersama. Ayah melatih kami untuk merasai bagaimana sukarnya untuk mencari rezeki. Abang- abangku akan bergilir- gilir untuk mengait buah kelapa sawit, mengumpulkan buah kelapa sawit yang telah dikait, membersihkan pelepah- pelepah pokok kelapa sawit yang jatuh dan gugur, serta membaja pokok- pokok kelapa sawit apabila tiba masanya. Emak dan kami anak- anak perempuanya pula hanya dikerah untuk melakukan kerja- kerja yang ringan seperti mengutip buah kelapa sawit yang lerai akibat hentakan yang kuat semasa jatuh ke tanah. Kadang- kadang aku dan kakak- kakakku akan membantu emak membersihkan kawasan belukar di hujung ladang. Waktu itu kami akan berebut- rebut mengutip sejenis buah hutan yang berwarna kuning yang kami gelar sebagai ‘buah letup’. Pada waktu itu, tidak pernah ada istilah letih pada kami sekeluarga kerana apa yang kami rasa hanyalah perasaan gembira kerana dapat menghabiskan masa bersama- sama.
No comments:
Post a Comment
teguran anda menjadi panduan untuk saya. terima kasih...