Pernah suatu malam aku terjaga dari tidur kerana mahu ke bilik air yang terletak di bahagian belakang rumah. Lewat malam itu, aku terdengar suara ayah sedang berbicara dengan ibu dari luar bilik tidur mereka. Perlahan- lahan aku menghampiri bilik tersebut untuk mencuri dengar perbualan mereka. Inti pati perbualan mereka ada menyentuh tentang hasrat ayah yang mahu melihat kelapan- lapan anaknya berjaya menjadi insan yang boleh membahagiakan mereka berdua. Ayah tidak mahu anak- anaknya menerima nasib sepertinya. Terpaksa bekerja keras untuk mencari sesuap nasi. Ayah juga mahu anak- anaknya menjadi insan yang tahu menjaga diri, merendah diri serta menghormati orang lain. Ayat terakhir yang masih terngiang- ngiang di telingaku sehingga kini yang telah disebut ayah pada malam itu ialah ayah mahu emak sentiasa berdiri kuat di belakangnya sama ada ayah susah, senang, jatuh dan bangun. Aku terdengar emak teresak kecil. Air mataku mulai gugur satu persatu. Hatiku menjadi sebak setelah menyaksikan peristiwa tersebut dan dalam masa yang sama aku mula menjauhi bilik itu dan masuk semula ke dalam bilik tidurku yang dikongsi bersama dua orang kakakku yang lain. Bermula malam itu, aku bertekad mahu menjaga hati kedua orang tuaku sebaik mungkin. Tidak akan sesekali aku akan menyakiti hati mereka kerana aku tidak mahu air mata mereka mengalir sekali lagi.
No comments:
Post a Comment
teguran anda menjadi panduan untuk saya. terima kasih...