Menurut emak, keluarga kami sudah lebih tiga puluh tahun menetap disini. Emak dan ayahku berasal dari Kuala Selangor, Selangor dan memilih untuk berhijrah ke tanah rancangan ini dengan niat untuk membina kehidupan yang lebih baik di luar kampung halaman mereka. Ayah bukan calang- calang orangnya. Dia merupakan seorang guru semasa berada di kampung halamannya tetapi atas sebab- sebab tertentu dia memilih untuk berhijrah dan meninggalkan pekerjaan mulia itu. Hanya kami sahaja yang tahu betapa sukarnya untuk ayah bangkit dalam kehidupannya untuk menyara keluarga selepas itu. Suatu ketika dahulu kehidupan kami sekeluarga bukanlah semewah dan seselesa sekarang. Sukarnya ayah mencari sesuap nasi untuk anak- anaknya masih aku terbayang sehingga kini. Bayangkan dengan gaji yang tidak sampai tujuh puluh ringgit sebulan itu, ayah gunakan untuk membeli segala keperluan rumah, menyekolahkan anak- anak dan menyediakan segala keperluan yang lain. Aku tahu ayah sedih mengenangkan nasibnya itu. Tapi tidak pernah sesekalipun ayah merungut tentang takdir kehidupannya yang sebegitu. Ayah sentiasa bergembira di hadapan kami semua walaupun aku tahu pada masa yang sama di fikirannya terfikir tentang segala kos persekolahan anak- anaknya yang semakin bertambah.
No comments:
Post a Comment
teguran anda menjadi panduan untuk saya. terima kasih...