SAYA MENULIS DAN MENCATAT
APA YANG TERLINTAS
DAN TERBUKU DI HATI DAN FIKIRAN...
KERANA PERKARA SEPERTI INI
MAMPU MENENANGKAN HATI SAYA...
SESUNGGUHNYA KETENANGAN ITULAH
YANG MENGUATKAN SAYA UNTUK MENERUSKAN KEHIDUPAN...

Tuesday, January 19, 2010

Kerana Saya Insan Yang Lemah....

Salam...

          Peluang untuk pulang ke kampung halaman pada hujung minggu lepas membuatkan semangat saya mula meningkat pada minggu ini. Masih rindu untuk mengucup pipi mak dan bapak (oh, saat saya menaip ini air mata mula mengalir deras di pipi). Masih rindu untuk makan, mengemas rumah, masak, berbual dan melakukan segala-galanya dengan mak...

          Mengikuti kelas Sejarah Rumpun Bahasa Melayu pada semester ini, memberikan saya peluang untuk menyelusuri salah silah keturunan saya iaitu keturunan Jawa. Kesempatan berhujung minggu bersama emak membuatkan saya tidak melepaskan peluang untuk terus menyingkap asal keturunan kami. Kata emak, kami berketurunan Jawa Pagelen. Apabila saya menanyakan tentang perbezaan antara Jawa Pagelen dengan keturunan Jawa Ponorogo, mak menjawab bahawa orang Jawa Pagelen ini selalunya mudah lupa. Kata mak lagi, orang yang berketurunan Jawa Pagelen ini tidak mudah berdendam dan cepat melupakan tentang kesalahan yang telah dilakukan oleh orang lain kepada dirinya. Berbeza dengan keturunan Jawa Ponorogo yang disifatkan lebih garang...

          Kalau benar apa yang dikatakan oleh emak, maka saya perlu melakukan beberapa perubahan dalam hidup saya. Saya akui sejak akhir-akhir ini saya menjadi seorang yang pedendam. Memang ada sebabnya saya menjadi orang yang sebegitu namun, saya tetap tidak menyukainya. Alangkah baiknya jika saya mewarisi sifat keturunan Jawa Pagelen seperti yang emak cakapkan kepada saya; cepat memaafkan!!!... Sungguh saya rindukan saat-saat indah seperti dulu. Hidup yang penuh dengan ketenangan dan tidak ada perasaan dendam di hati. Semua itu membuatkan saya sentiasa bergembira dan bersuka ria...

          Rasanya azam saya pada tahun ini bertambah lagi. Saya ingin cuba untuk membersihkan segala kekotoran dan bintik-bintik hitam yang mungkin telah bersarang di dalam hati ini. Jika bintik-bintik hitam itu bolah di scan, saya takut ianya terlalu banyak dan sukar untuk dibersihkan. Kalaupun ianya boleh dibersihkan, saya masih takut-takut ianya akan meninggalkan kesan dan bintik itu mampu bercambah semula...



Bismillahirrahmanirrahim...

Ya ALLAH Ya Tuhanku,
hanya padaMu aku serahkan segala-galanya. Kupohon agar ENGKAU kuatkan
hatiku untuk meneruskan hidup yang penuh pancaroba ini supaya aku mampu meningkatkan ibadahku kepadaMu Ya ALLAH,

Ya ALLAH Ya Tuhanku,
sesungguhnya aku memerlukan bimbingan dan hidayahMu untuk menjadi insan yang taat kepada perintah dan suruhanMu. Kupohon agar ENGKAU panjangkan umur ibubapaku dan umurku agar aku mempunyai kesempatan untuk berbakti dan berjasa kepada kedua orang tuaku...

Ya ALLAH Ya Tuhanku,
ENGKAU bantulah aku supaya aku mampu menjadi insan berhati mulia, tanpa ada rasa dendam di dalam hati. Sungguhpun kesalahan itu datang dari kesilapan orang lain, ENGKAU lembutkan hatiku agar mudah dan cepat memaafkannya. Ya ALLAH Ya Tuhanku, sesungguhnya hanya padaMu aku berserah kerana aku tahu ENGKAUlah yang Maha Mendengar dan Mengetahui segala-galanya...

Amin Ya Rabbal Alamin...

No comments:

Post a Comment

teguran anda menjadi panduan untuk saya. terima kasih...