Kini, peristiwa itu sudah lebih sepuluh tahun berlalu. Anak- anak ayah semuanya sudah bekerja kecuali aku. Semuanya tidak pernah melupakan ayah dan emak. Anak- anak lelaki ayah ada yang berkhidmat sebagai jurutera dan doktor manakala anak- anak perempuannya mewarisi bakat ayah menjadi seorang pendidik. Aku kini sedang berada di tahun akhir dalam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di Universiti Putra Malaysia. Betapa bahagia dan bersyukurnya aku menjadi anak ayah dan emak. Jika tidak kerana kegigihan ayah mencari rezeki untuk kami sekeluarga, aku yakin kami adik- beradik tidak akan mencapai kejayaan seperti sekarang. Jika tidak kerana ketabahan emak yang mendidik kami juga, aku yakin kami adik beradik tidak kuat untuk melangkah sehingga ke tahap ini. Biarlah orang berkata yang bukan- bukan tentang kehidupan seorang peneroka Felda. Hanya kami yang bergelar anak peneroka sahaja yang tahu ceritanya. Apa yang pasti aku bangga bergelar anak seorang peneroka. Aku bangga menjadi anak ayah. Ya, aku bangga darah ayah mengalir dalam badanku kerana darah ayah yang mengalir ini merupakan darah seorang pejuang. Ayah memang seorang perwira di mata kami anak- anaknya. Setiap kali selepas menunaikan solat, aku tidak lupa untuk mendoakan kesejahteraan ayah, emak dan adik- beradikku yang lain. Pohonku semoga ayah dan ibuku dilanjutkan umur mereka serta dikurniakan kesihatan yang baik. Aku juga berdoa supaya aku sempat untuk membalas jasa kedua orang tuaku itu dan aku juga tidak pernah lupa untuk mengucapkan terima kasih dan syukur kepada tuhan kerana menjadikan aku anak kepada ayah dan emak...
No comments:
Post a Comment
teguran anda menjadi panduan untuk saya. terima kasih...