Salam...
Saya mulakan entri ini dengan tajuk yang sangat panjang. Hati semakin tenang semenjak dua menjak ini. Mungkin sudah mampu dan semakin menerima hakikat kehidupan ini. Tidak mengapa duhai hati jika kau bersedih seketika kerana jika tidak tuanmu ini tidak akan mengerti tentang kesedihan orang lain. Hakikat kehidupan memang tidak ada siapa yang mampu menduganya. Jika kita menerimanya dengan fikiran positif maka akan terbukalah pelbagai hikmah yang kita sendiri tidak pernah akan terfikir tentangnya.
Pulang ke pangkuan keluarga pada hujung minggu lepas banyak membantu menenangkan hati ini. Walaupun pulang untuk melawat dan memberi kekuatan serta sokongan kepada abang yang sedang sakit namun kegembiraan lain juga dapat dinikmati bersama. Sesungguhnya dalam kesedihan tetap ada cerianya. Lebih-lebih lagi ketika berada bersama keluarga. Meminjam kata-kata seorang pensyarah, jika berasa malas untuk belajar, pulangkah ke kampung. Jumpa dan minta restu daripada emak. Saya mengakui segala hakikat itu. Tanpa restu dan keberkatan, ilmu yang diperolehi semakin sia-sia biarpun ianya semakin bertambah.
Keluarga sangat penting dalam kehidupan saya. Bagi saya hanya keluarga yang setia dan sanggup mengharungi kesusahan dan kesenangan bersama-sama tanpa mengira waktu. Mungkin ada segelintir teman yang boleh dianggap sebagai sebahagian daripada keluarga sendiri. Sudi menghulurkan bantuan ketika kita memerlukan. Namun, pasti tidak sama dengan huluran yang diterima daripada ahli keluarga sendiri. Tidak dapat saya bayangkan jika kehidupan saya ini tanpa mereka. Namun, sebagai makhluk tuhan saya tidak mampu untuk menolak takdir yang telah ditentukan tuhan yang maha pencipta.
Jagalah segala rahsia keluarga kita sebaik mungkin. Biarpun rahsia itu dalam bentuk kebaikan atau keburukan biarlah ianya menjadi rahsia bersama keluarga. Apa gunanya jika semua hal peribadi harus dijaja. Bukan menidakkan kecanggihan media massa, tetapi fikir-fikirkanlah apa rasionalnya jika kisah keluarga sendiri menjadi tatapan dan bahan perbincangan umum. Mungkin pada asalnya mahu untuk menjernihkan suasana tapi tidak mustahil kekeruhan semakin melanda. Mana tidaknya, bukan semua orang yang suka melihat orang lain gembira dan bahagia. Cemburu, hasad dengki dan iri hati manusia memang sukar dikawal. Apatah lagi untuk diberhentikan. Bagi yang sukar menguasai diri sendiri, sama-samalah kita memperbaikinya. Mudah-mudahan emosi kita akan mengubati keresahan di hati sendiri. Jangan lupa sayangilah keluarga anda.=)
No comments:
Post a Comment
teguran anda menjadi panduan untuk saya. terima kasih...